Monday, January 18, 2010

Dakwah: satu keperluan

Kalau mendengar perkataan DAKWAH, pasti minda kita membayangkan sesuatu yang berat dan tak tercapai dek akal. Namun, konsep dakwah yang sebenar lebih mudah difahami melalui perkataan, AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR(mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran).
Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 110 yang maksudnya; kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia,(kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah ………….
Islam adalah agama yang mudah. Tiada suatupun perintah yangmenyusahkan penganutnya. Begitu juga dakwah. Jika difahami konsepnya secara mendalam, pasti kita sedar bahawa ia sesuatu yang senang untuk dilakukan. Baiklah, pernah tak sebelum ini kita mengajak orang lain melakukan solat? Ataupun mengejutkan orang untuk bersolat? Itupun telah dikira dakwah kerana kita mengajak orang melakukan kebaikan. Senang kan?
Mengapa dakwah ini perlu? Kenapa perlu menyibuk hal orang lain? Bukankah kubur masing-masing? Sering kedengaran suara-suara yang mengemukakan persoalan-persoalan sebegini. Jawapannya mudah. Sudah menjadi fitrah manusia sukakan kebaikan dan membenci kemungkaran. Tapi, manusia atau dalam bahasa arabnya ‘insan’ yang berasal daripada perkataan ‘an-nis yan’ yang bermaksud lupa. Manusia merupakan makhluk yang dikurniakan akal oleh Allah tetapi kadangkala terlupa. Disebabkan itu, perlulah ingat-mengingati antara satu sama lain.
Dalam satu hadis, Rasulullah bersabda; barangsiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mencegahnya dengan tangan. Jika tidak mampu, hendaklah mencegahnya dengan lisan. Jika tidak mampu, hendaklah mencegahnya dengan hati. Dan itulah (mencegah dengan hati) adalah selemah-lemah iman. Rasulullah menerangkan peringkat dakwah atau nahi mungkar boleh dilakukan secara 3 peringkat. Yang pertama, mencegah melalui tangan ataupun kuasa. Sebagai contoh, seorang ketua atau bos mengajak anak buahnya melakukan kebaikan atau mencegah daripada melakukan sesuatu kemungkaran. Jika tidak mampu atau tidak mempunyai sebarang kuasa, kita bolehlah mencegah melalui lisan iaitu dengan memberi nasihat yang baik atau menegurnya dengan cara yang berhikmah. Cara yang terakhir, melalui hati. Sekiranya kita tidak mampu mengajak orang melakukan kebaikan atau menghalangnya melakukan kemungkaran, hendaklah kita membenci sesuatu kemungkaran..
Terkadang kita sudah lali melihat kemungkaran sehinggakan kita sudah tidak rasa apa-apa lagi melihatnya. Sebagai contoh, kita menonton rancangan televisyen. Cerita yang dipaparkan menunjukkan artis atau pelakon yang tidak menutup aurat. Kita melihatnya tanpa rasa bersalah. Hal ini bermakna kita telah membenarkan dia melakukan kemungkaran tersebut. Bermakna kita telah bersubahat dengannya melakukan kemungkaran tersebut. Dan di akhirat kelak kita akan ditarik olehnya masuk ke dalam neraka bersama-sama. Nauzubillahi min zalik.
Cara yang terbaik dalam berdakwah ialah dakwah bil hal. Iaitu menunjukkan akhlak yang baik. Sudah menjadi fitrah, yang terbaik pasti yang susah didapati. Hanya beberapa orang sahaja yang mampu melakukan dakwah dengan cara ini. Kebanyakan insan hanya hebat berkata-kata tapi kalah dalam mengamalkannya. Oleh itu,kita hendaklah sama-sama berusaha agar kita dapat berdakwah dengan cara ini. Dan tanpa kita sedari, kita sedang berdakwah dengan cara ini. Ana bawakan satu contoh, orang-orang kafir di luar sedang melihat perbuatan dan tingkah laku kita. Jika baik, mereka akan berkata; Islam itu bagus. Penganutnya menepati masa . Jika buruk, mereka akan berkata; Islam itu buruk kerana penganutnya tidak menepati masa. Bayangkan, pandangan orang terhadap Islam dilihat melalui penganutnya iaitu KITA!!
Wahai saudara-saudariku di luar sana, kita pembawa Islam. Jika bukan kita,siapa lagi? Tapi ingatlah, jika kamu tidak bawa Islam, Allah tak rugi kerana Dia akan datangkan satu golongan yang akan membawa Islam. Yang rugi itu adalah insan yang tidak membawa Islam kerana Allah menjanjikan ganjaran yang tidak ternilai harganya. Dan ingatlah, janji Allah itu pasti.

No comments: