Friday, April 15, 2011

Memahami Pelajaran



Alhamdulillah...

alhamdulillah

AlhAmduLilLAh!!

Sengaja saya ulang kalimah hamdalah itu. Secara tidak langsung, saya telah membantu kalian melafazkan rasa syukur pada Allah. Syukur atas nikmat yang tidak terkira banyaknya, syukur atas rahmat-Nya yang sentiasa menaungi kita, syukur atas Rahim-Nya yang sentiasa memberikan yang terbaik untuk kita.. [bijakkan saya..? :p]

Kali ini ingin saya bicarakan mengenai ilmu. Ilmu, ilmu, ilmu.. Ilmu itu sesuatu yang SANGAT penting bagi seorang muslim untuk menjadi mukmin, melangkah terus untuk menjadi muttaqin..

Saya terbaca dalam satu buku [Pelajar Cemerlang karangan Muhd Kamil Ibrahim dan Nasrudin Mohammed], yang menerangkan maksud 'memahami pelajaran'.
Dalam buku tersebut, penulis menjelaskan bahawa maksud 'memahami pelajaran' itu sendiri mempunyai makna yang sangat meluas. Tetapi kita biasanya hanya ditekankan bahawa ia memberi makna yang menjurus ke arah keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Sejujurnya, saya sangat tidak bersetuju dengan makna ini [seperti pendapat penulis buku tersebut]. Bagi saya, peperiksaan tidak bermakna apa-apa.

Tidak setuju dengan kenyataan saya? Saya berikan contoh. Kadang-kadang ada insan yang hebat. Sentiasa mendapat markah tinggi dalam peperiksaan. Tapi satu ketika dia diuji dengan kemalangan jalan raya yang membuatkan dia tidak dapat mengambil satu kertas. Maka, pointernya untuk semester tu jatuh.
Contoh lain, ada seorang insan yang telah siap membuat persediaan menghadapi peperiksaan. Pada pagi peperiksaan, dia sakit perut dan tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian untuk menjawab peperiksaan itu. Disebabkan itu, keputusannya tidak sehebat mana.
Contoh-contoh yang saya berikan ini, membuktikan bahawa setiap yang berlaku telah ditentukan Allah. Maka, keputusan peperiksaan itu tidak dapat mengatakan sepenuhnya bahawa pelajar tersebut telah memahami pelajaran atau subjek tersebut.

Pemahaman sesuatu pelajaran bukan dilihat melalui apa yang dia dapat daripada subjek itu sahaja tetapi melalui pemikiran di luar kotak [out of the box] dan aplikasi dalam kehidupan. Pelajaran bukan untuk peperiksaan semata-mata tetapi apa yang di aplikasikan dalam kehidupan. Contohnya, matematik. Adakah insan yang dapat menyelesaikan masalah rumit matematik itu mampu menyelesaikan masalah-masalah dalam kehidupannya. Memang formula matematik dan formula kehidupan itu berbeza tapi asasnya tetap sama iaitu penetapan matlamat dan jalan kerja yang sistematik agar mendapat jawapan yang betul.

Insan yang memahami pelajarannya sedar bahawa proses pengajaran dan pembelajaran bukan hanya di dalam kelas semata-mata tetapi merangkumi seluruh kehidupannya. Setiap saat adalah proses tarbiyah dari Allah. Jika kita sedar itu, setiap masalah yang timbul mampu diatasi dengan bijak dan segala kelebihan yang didapati, kita akan sentiasa tersedar bahawa itu adalah pengajaran dari Allah. Tiada apa yang perlu dibanggakan kerana segalanya datang dari-Nya.

Sejarah membuktikan bahawa insan yang memahami pelajarannya merupakan insan yang sentiasa berfikir. Antaranya ialah Imam al-Ghazali, Ibn Khaldun, Imam Bukhari dan ramai lagi. Mereka telah membuktikan kefahaman mereka dengan menghasilkan beribu jilid buku. Jika dibandingkan masyarakat Malaysia hari ini, kita bukan sahaja kurang menghasilkan buku malah malas untuk membaca!

Saya bukan insan yang memahami pelajaran tetapi insan yang sentiasa cuba untuk menjadi insan yang sentiasa menjana minda dengan berfikir.
Melihat kemajuan negara jiran, Jepun yang sangat maju, saya tertanya-tanya. Bagaimana negara yang baru dilanda musibah itu masih mampu terus mempertahankan mata wang mereka dalam pasaran dunia. Dapat saya simpulkan bahawa keazaman yang kuat dan praktikal 'kefahaman' mereka dalam kehidupan membuatkan mereka terus berdiri.

"Dan Dialah yang menghidupkan dan mematikan; Dan Dialah yang menetukan pertukaran malam dan siang. Maka tidakkah kamu mahu berfikir?" [al-Mukminun; 80]


Terlalu banyak ayat di dalam al-Quran yang mengajak kita untuk terus berfikir. Usah mengatakan bahawa 'otak dah tepu'. Otak kita merupakan satu penciptaan yang sangat hebat. Di dalamnya terdapat trilion neuron yang apabila diisi semakin bertambah ruangnya.

Sabda Rasulullah; "Pada setiap seratus tahun, akan diutus kepada umatku mujaddid, iaitu golongan yang berusaha memperbaharui urusan agama mereka" [HR Hakim]

Ayuh 'memahami pelajaran'..! Teruskan berfikir. Mungkinkah anda 'mujaddid' abad ini?


No comments: