Sunday, December 26, 2010

Setiap mukmin itu bersaudara..

Aku terbaca satu kisah. Diceritakan bahawa suatu hari Salman al-Farisi melakukan perjalanan bersama para sahabat. Termasuk juga Rasulullah S.A.W. Mereka berhenti di satu tempat untuk berehat. Usai mendirikan khemah, Salman langsung terlelap.


“Apakah tujuan orang ini, sesuka hati sahaja masuk ke khemah dan tidur mendengkur begitu,” ujar salah seorang di antara mereka. Dua orang sahabat kemudiannya mengumpat Salman yang tertidur itu. Selang beberapa kemudian, keduanya membangunkan Salman dan menyuruhnya agar pergi ke khemah Nabi yang agak jauh dari situ. Kedua sahabat itu mengharap agar Salman menemui Nabi dan meminta daging untuk makan malam.


Salman pun berangkat dan menyampaikan maksud kepada Nabi Muhammad namun baginda tidak memberi sekerat daging pun kepada Salman.

“Sampaikan kepada mereka bahawa mereka sudah memakan daging,”ujar Nabi.

Salman kemudian menyampaikan pesan Nabi tersebut. Namun keduanya bersumpah bahawa mereka belum makan sekerat daging pun. Lalu Salman mengajak mereka berdua untuk menghadap Nabi.

“Wahai Rasulullah, demi Allah kami belum makan lauk sama sekali,” ujar mereka.

“Aku melihat merahnya daging pada mulut kamu berdua,” jawab Nabi.

“Demi Allah, kami tidak makan lauk sedikitpun. Sehari suntuk perut kami belum memasuki apa pun!” kata mereka bersungguh-sungguh.

“Kamu telah mengumpat dan mengata saudaramu (Salman). Apakah kamu suka makan daging orang mati?” tanya Nabi.

“Tidak,”

“Kalau begitu, janganlah kamu mengumpat dan mengatakan keburukan orang lain. Kerana yang seperti itu bererti makan daging saudara sendiri,” kata Nabi lalu membacakan surah al-Hujurat ayat 12.


Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain,dan janganlah setengah yang kamu mengumpat yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranyayang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha penerima taubat lagi Maha Mengasihani.

Dalam ayat ini, Allah telah menyatakan beberapa peringatan. Pertama, jauhi bersangka buruk. Sesungguhnya serendah-rendah ukhwah adalah bersangka baik. Apabila kita bersangka buruk pada seseorang, maka dimana letaknya ukhwah kita dengan insan tersebut??

Keduanya, jangan mencari kesalahan orang lain. Telah Allah ciptakan manusia ini sebagai hamba yang tidak sempurna. Memang lumrah, manusia sentiasa melakukan kesilapan. Berilah kesempatan pada insan untuk membetulkan kesilapannya bukan mencari kesalahannya dan mengaibkannya. Tambahan, diri kita juga sering melakukan kesilapan.

Ketiganya, jangan mengumpat orang lain apatah lagi jika orang itu adalah saudara seislam kita. Dalam tanpa kita sedari, kadangkala kita mengatakan; “aku berkata sesuatu yang betul mengenainya. Memang dia begitu dan begitu,”. Sesungguhnya tanpa kita sedar, kita telah mengumpat saudara kita sendiri. Mengumpat ialah mengatakan sesuatu (yang benar) mengenai orang lain yang apabila didengarinya pasti boleh mendatangkan perasaan kurang senang. Dalam erti lainnya, memceritakan aib seseorang.

Wa akhiran, Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha penerima taubat lagi Maha Mengasihani. Allah menyuruh kita agar BERTAKWA. Kenapa Allah menyuruh kita bertakwa bukan bertaubat? Kerana takwa itu adalah kunci ketaatan kepada Allah. Apabila hamba itu taat pada Pencipta, maka lahirlah taubat dan penyesalan atas dosa-dosanya..

Wallahu a’lam.

No comments: