Saturday, May 08, 2010

Rasulullah dan para sahabat sebagai model perjuangan.

Para da’i di jalan Allah seharusnya mendapat bekalan dari sirah ar-Rasul, dari perjalanan hidup perjuangan Nabi Muhammad s.a.w dan dialami oleh para sahabat peringkat pertama dakwah Rasulullah kerana Islam di zaman ini telah kembali dagang semula. Jahiliyah pula telah kembali mencengkam dan mengancam masyarakat dari segala penjuru kehidupan. Para da’i ditentang dari kiri dan kanan. Mereka diserang dengan serangan yang tidak mengenal ampun, tiada maaf untuk mereka sama ada dari dalam atau luar oleh puak jahiliyah. Mereka diseksa, dipenjara, dikejar di mana-mana, ditindas malah ada yang dibunuh dan dihukum gantung oleh boneka-boneka jahiliyah yang menguasai negara Islam. Para da’i dan para pendokong tugas dakwah tidak boleh lari dari intipan, ancaman dan berbagai-bagai tuduhan yang jahat.

Itulah sebabnya mengapa kita perlu mencari bekalan dari sirah Rasulullah di dalam pelbagai peringkat dan jurusan dakwah serta perjuangan baginda dan para sahabat. Rasulullah adalah pemimpin kita, ikutan kita, juga pemandu kita.

Begitu juga para sahabat. Mereka berjalan di atas jalan dakwah yang sama. Mereka bersama-sama membangunkan Daulah Islamiyyah yang pertama di atas kehancuran kuasa jahiliyyah. Mereka adalah contoh teladan kita di atas jalan dakwah dan perjuangan Islam yang wajib kita ikuti.

Sirah mengajar kita untuk hidup di dalam Islam di segala jurusan hidup. Bagaimana Rasulullah membentuk para sahabat menurut acuan al-Quran? Bagaimanakah Rasulullah mengubah jahiliyah dan menggantikannya dengan Islam? Bagaimanakah Baginda mengatur negara Islam Madinah menurut syariat Allah dan al-Quran sebagai perelembagaan?

Di atas sebab-sebab itulah kita perlu mengkaji semula dan mempelajari dengan lebih terpeinci akan sirah Rasulullah. Dari sinilah kita akan menggali segala hikmat dan mutiara yang terpendam untuk dijadikan bekalan disepanjang jalan dakwah. Marilah kita teliti segala peringkat sirah baginda dan para sahabat. Bagaimana akhlak mereka, bagaimana jihad mereka, bagaimana pengorbanan mereka dan bagaimana mereka mampu membebaskan hidup mereka dari cengkaman tradisi jahiliyah dan masuk Islam secara keseluruhannya dan akhirnya mereka mendapat kebahagiaan dan kejayaan yang luar biasa dari segenap jurusan hidup.

Qudwah amaliyah (contoh yg praktikal) yang sangat berkesan ini sangat mempengaruhi jiwa dan ia adalah lebih baik dari nasihat-nasihat tanpa model dan teladan. Inilah sebaik-baik bekalan.

Dalam kita membaca sirah Rasulullah, kita akan dapati baginda telah menanggung azab penyiksaan dari puak jahiliyah. Namun baginda menghadapinya dengan penuh kesabaran dan terus menyebarkan risalah tanpa jemu kepada kaumnya. Demikian juga kita dapat bekalan dari kisah kesabaran Yasir dan Sumaiyyah yang disiksa oleh puak jahiliyah sehingga akhirnya mereka menikmati syahid. Kita lihat pula bagaimana kuat dan utuhnya keimanan Bilal dalam menerima siksaan dari mereka.

Rasulullah pernah dituduh dengan pelbagai tuduhan. Baginda tidak pernah marah malah lebih bertambah sabar dengan cemuhan-cemuhan itu. Tidak hairanlah jika para da’i di zaman ini juga mendapat dugaan dan mihnah. Dituduh dengan pelbagai tuduhan, berjuang bertopengkan agama dan berbagai tuduhan lagi. Jelas sekali tuduhan itu adalah palsu belaka.

Kenangilah kembali wahai saudaraku,
Bagaimana sabar dan tabahnya para sahabat menahan lapar sewaktu pemulauan selama 3 tahun. Namun tidak pernah terlintas di fikiran mereka untuk berganjak dari aqidah mereka.

Oleh itu saudaraku,
Dalam pengkajian sirah Rasulullah ini, dalam membaca dan menelaah kembali, marilah kita meneliti dan membacanya seolah-olah kita berada di kalangan mereka, di zaman mereka dan berjuang bersama-sama mereka. Kelak kita akan mendapat faedah yang amat besar.

Tatkala kita diuji dengan peristiwa dan tentangan seperti zaman Rasulullah di dalam dakwah Islam dan perjuangan Islam, kita perlulah bersikap seperti sikap baginda dan para sahabat kerana merekalah model ikutan kita.

No comments: