Monday, April 19, 2010

Al-Quran VS Taurat : Ilmu Falaq

Kadangkala kalau kita menyebut penemuan-penemuan ilmu falaq berkenaan dengan al-Quran, orang barat menyatakan bahawa ini tidak menghairankan kerana orang-orang arab mencapai banyak kemajuan dalam bidang ini jauh sebelum orang barat.

Tetapi kata-kata itu menunjukkan bahawa mereka tidak memahami sejarah. Pertama, sains berkembang di negeri-negeri arab selepas al-Quran diwahyukan. Keduanya, ilmu sains yang ada pada zaman keemasan ketamadunan Islam tidak memungkinkan manusia menulis ayat-ayat mengenai ilmu falaq seperti yang terkandung di dalam al-Quran. Hal ini kerana masalah ini sungguh luas maka di sini hanya dapat dikemukakan garis-garis besarnya.

Di dalam Taurat, matahari dan bulan disebut sebagai dua bintang yang berbeza besarnya. Tetapi al-Quran membezakan antara bulan dan matahari dengan menggunakan panggilan yang berlainan bagi cahayanya. Nur bagi bulan dan siraj / wahhaj bagi matahari. Disebut mengenai hal ini dalam surah Nuh ayat 15-16;
“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh langit bertingkat-tingkat. Dan Allah menciptakan padanya bulan sebagai cahaya dan menjadikan matahari sebagai pelita”.
Dan juga di dalam Surah an-Naba’ ayat 12-13;
“Dan kami bina di atas kamu tujuh buah langit yang kukuh. Dan kami jadikan pelita yang amat terang (matahari)”.

Bulan merupakan sebuah benda yang tidak mempunyai kuasa sendiri yang hanya memancarkan panahan cahaya tetapi tidak mempunyai cahaya sendiri. Ini yang digambarkan dengan perkataan nur. Yang digambarkan dengan perkataan siraj dan wahhaj ialah suatu benda di langit yang kekal dalam keadaan berbakar dan suatu sumber cahaya dan panas.

Perkataan ‘bintang’ dalam bahasa Arab (najm) disertai dengan sesuatu perkataan lain (Tsaqib) yang menunjukkan bahawa najm ini membakar dan memakan dirinya sambil cahayanya menembus kegelapan malam. Ayat 1-3 surah at-Thariq menjelaskannya;
“Demi langit dan yang datang pada malam hari hari. Tahukah kamu apakah datang pada malam hari? Iaitu bintang yang cahayanya menembus”.

Dalam Quran, perkataan kawkab membawa erti bintang siarah (planet) yang hanya menerima panahan cahaya tetapi tidak mempunyai cahaya sendiri seperti matahari sebagaimana terdapat dalam surah an-Nur ayat 35;
“Allah itu pemberi cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya (Allah) adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang yang bercahaya seperti mutiara.”

Kita hari ini mengetahui bahawa alam semesta ini adalah dalam keadaan seimbang dengan letaknya bintang dalam suatu peredaran yang tertentu dan juga dengan kekuatan daya tarik yang terikat yang saling mempengaruhi antara satu sama lain bertalian dengan jisimnya dan kecepatannya yang tersendiri. Inilah yang dijelaskan di dalam al-Quran dengan kata-kata yang hanya dapat difahami pada zaman ini ketika ia menyebut keseimbangan ini di dalam surah al-Anbiya’ ayat 33;
“Dan Dialah Allah yang telah menjadikan malam dan siang, matahari dan bulan, (sedang semua itu) bergerak beredar di landasan (masing-masing)”.

Perkataan yasbahun dalam ayat memberi makna bahawa edaran atau gerakan itu terdapat dari apa saja benda yang bergerak, sama ada gerakan kaki sambil kita berlari ataupun gerakan sewaktu berenang di dalam air. Dalam hubungan dengan benda yang ada di langit, perkataan ini diterjemahkan dalam erti asal iaitu “berjalan dengan gerakannya sendiri”.

Penjelasan dalam al-Quran mengenai perselisihan siang dan malam mungkin cuma perkara biasa. Akan tetapi, di dalam al-Quran masalah ini disebut dengan kata-kata yang sangat bererti hari ini. Ini kerana kata perbuatan kawwara yang digunakan dalam surah az-Zumar ayat 5;
“Ia diputarkan malam atas siang, dan ia diputarkan siang atas malam”.

Perkataan kawwara digunakan untuk menggambarkan bagaimana siang dan malam bertukar dan melilit seperti serban dililit mengelilingi kepala. Ini merupakan suatu perbandingan yang tepat tetapi pada masa al-Quran diturunkan ilmu falaq yang diperlukan untuk mengambil kesimpulan ini langsung tidak ada. Hanya hari ini dengan satelit, dapatlah kita melihat gambaran yang terkandung di dalam al-Quran kerana kita melihat bumi berputar terus-menerus dengan putaran siang dan malam disebabkan cahaya matahari pada suatu masa hanya memenuhi separuh dari bumi sedangkan pada masa yang sama separuh lagi yang lain dalam keadaan gelap. Konsep bahawa bumi ini berputar dan matahari terletak dalam kedudukan yang tetap (dalam hubungannya dengan bumi) adalah konsep yang sangat moden.

Perkembangan langit-langit dan tempat matahari yang tetap juga dijelaskan di dalam al-Quran sesuai dengan kajian sains. Dengan menggunakan perkataan mustaqarr dalam surah Yasin ayat 38, al-Quran menjelaskan bahawa matahari mempunyai suatu tempat tertentu;
“Dan matahari berjalan di tempat peredarannya, demikian ketetapan (Tuhan) Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui”.

Ayat ini menjelaskan bahawa matahari berkembang dan menuju ke suatu tempat tertentu. Matahari merupakan suatu bintang yang berumur 4.5 bilion tahun, telah mengalami proses perkembangan dan ia akan berubah. Matahari disebut dalam ayat itu mengarah ke tempat yang khas. Tempat itu dinamakan dalam ilmu falaq sebagai apex dan dalam sistem matahari kita berkembang dalam angkasa dan menuju ke suatu tempat tertentu dengan kecepatan 19 kilometer sesaat.

Al-Quran juga menjelaskan perluasan alam semesta. Misalnya dalam surah az-Dzariyat ayat 47;
“Dan langit itu Kami bangunkan dengan kekuasaan Kami, dan Kami luaskannya”.


Perluasan alam semesta adalah suatu perkara yang dibuktikan oleh sains. Yang dipersoalkan, bagaimana ia terjadi? Dari ‘general theory of relativity’ perluasan alam semesta diakui oleh ilmu fizik dalam pemeriksaan mengenai bimasakti yang membuktikan bahawa bimasakti-bimasakti saling menjauhkan diri antara satu sama lain. Ayat diatas sangat sesuai dengan penemuan sains moden ini.

Manusia sekarang dapat meneroka dan menembus angkasa lepas. Penerbangan manusia ke angkasa lepas adalah kerana kemajuan teknologi yang memungkinkan pendaratan manusia di bulan. Tetapi surah ar-Rahman ayat 33, Allah menyebut;
“Hai golongan jin dan manusia! Jika kamu dapat keluar dari sempadan-sempadan langit-langit dan bumi, cubalah kamu tembusi. Kamu tidak dapat menembus keluar melainkan dengan sulthan (dari kami)”.

Sulthan atau kekuasaan berasal dari Allah dan seluruh surah itu menyuruh manusia mengakui nikmat dan kemudahan yang telah Allah berikan kepada manusia.

2 comments:

al-bagani said...

huh....saintifik sungguh fakta2 nih...

pening pale nk paham...
tp bgs laa artikel cmnie...
ana copy ek..
nk share ngn kwn2 di kampus...

thepioneer said...

silakan...
harap bergne tuk perjuangn nta kt sane..