Wednesday, April 06, 2011

6 April 1985: Cinta ke Syurga


Hari ini, genap 26 tahun umur perkahwinan mereka. Insan yang terlalu di kasihi. Aku merenung, indahnya cinta, membawa ke syurga.

Tersenyum sendiri memikirkan liku-liku kehidupan yang di tempuhi. Aku tersedar, bukan mudah untuk menggalas satu tanggungjawab sebagai ibu bapa. Aku bersyukur kerana adanya mereka dalam hidup ini..

Dulu, aku tertanya-tanya bagaimana bermula kisah cinta dua hati ini. Akhirnya aku ketahui, cinta yang berlandas agama, cinta hingga ke syurga. Kisah perkenalan bermula dengan bertukar-tukar kaset dan buku agama. Ibuku yang mengikuti usrah bersama-sama ibu mertuanya. Akhirnya membawa kepada cinta yang diredhai agama.
Sepanjang tempoh perkenalan, bukanlah menjadi tabiat mak dan ayah untuk keluar bersama-sama. Tak pernah berjalan berdua. Jika ingin berjumpa pun, ayah yang akan bertandang ke rumah. Tempoh lebih kurang 6 bulan bertunang dijaga agar seiring dengan syarak. Sungguh aku kagum dengan mereka..

Setahun perkahwinan, dikurniakan cahaya mata pengikat rasa cinta. Tanggungjawab kini bertambah. Jika dahulu hanya sebagai seorang suami atau isteri, kini sudah bergelar ayah dan ibu. Tapi itu bukanlah menjadi beban kepada mereka. Sabarnya mendidik anak-anak dengan tarbiyah agama. Mengharap anak-anak bakal menjadi insan soleh solehah yang berbakti kepada agama. Aku masih ingat, setiap hari kami wajib mengaji al-Quran selepas maghrib. Kalau silap atau tak dapat, mesti kena pukul. Kadang-kadang sampai Isyak pun tak habis mengaji lagi.
Walau kehidupan tidak semewah insan lain, hanya tinggal di rumah kayu, tapi cukuplah. Aku dan adik beradikku di ajar untuk berjimat cermat. Baju sekolah, mak jahit sendiri. Makan petang, mak buat kuih sendiri. Lauk pun, makan ala kadar. Yang paling best masa cari pucuk paku, pucuk ubi, dan macam-macam lagi untuk buat lauk. Kadang-kadang ayah pergi memburu. Teruja bila nengok mak cabut duri landak dan kijang yang tergantung kat dapur…

Tahun 2002, tahun yang aku rasa penuh cabaran. Tapi tak pernah walau sekali aku mendengar keluhan ayah, tak pernah melihat air mata mak mengalir. Ah, kuatnya mereka.. Tahun tu, akak aku ditawarkan untuk menyambung pelajaran di SMS Muar. Beberapa minggu sebelum daftar, rumah kami dimasuki pencuri. Bayangkan, duit yang dikumpul untuk mendaftar akak aku, habis semuanya. Mujur ada saudara-mara dan sahabat handai yang membantu. Tahun itu, berat hati kedua ibu bapaku melepaskan anak mereka. Berat untuk berjauhan. Tapi, demi ilmu mereka redha.

2003, anak kedua mereka pula terpaksa dilepaskan dengan hati yang berat. Mencari ilmu di SMKA Bandar Penawar, Kota Tinggi. Alangkah sabarnya hati mereka berjauhan dengan anak-anak yang selama ini sentiasa di depan mata. Hari ini baru aku tersedar. Kenapa dulu mak tak menggalakkan aku ke kisas.. Sekali kaki melangkah ke luar, susah nak nengok anak balik depan mata. Masa dengan anak-anak dah berkurang. Mak, ayah, redhailah kami pergi menuntut ilmu..

Perjalanan dua hati kini memasuki tahun ke-26. Tipu jika mengatakan tidak ada ujian dalam kehidupan rumahtangga mereka. Mujur agama dijadikan sandaran. Alhamdulillah, berjaya menempuh ujian itu berbekalkan sabar dan keimanan.

Ya Allah,
Telah Kau satukan dua hati ini 26 tahun yang lalu berlandaskan cinta kepada-Mu. Maka, Kau kekalkanlah perkahwinan mereka hingga ke syurga-Mu. Kuatkanlah hati mereka tuk menempuhi segala badai dalam kehidupan ini. Berkatilah dan redhailah umur mereka Ya Allah.

Buat ayah dan bonda yang dicintai kerana Allah,
Anakmu ini memohon ampun andai pernah melakukan kesilapan sepanjang 19 tahun dibawah jagaanmu. Andai pernah mengguris hatimu.
Terima kasih ayah dan ibu kerana menjaga anakmu dengan penuh kasih sayang. Memberi didikan agama yang sempurna. Menegur anakmu ini jika terleka. Memberi bekalan dunia dan akhirat.
Mak, ayah,
Tak terkira rasa pengorbanan yang telah kalian curahkan. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Halalkanlah semua yang telah mak dan ayah beri kepada kami..

1 comment:

Anonymous said...

err...siyes, sedih, trharu, mcm2 lagi laa baca entri ni...huhuhu...amin....