Penyelesaian secara Islam seperti yang dikehendaki iaitu wujudnya masyarakat dan pemerintahan Islam yang benar dan rasional, mengembalikan semula cara hidup Islam tidak mungkin dapat dicapai dengan beberapa arahan segera dari pentadbiran kerajaan. Tidak mungkin dapat dicapai dengan penggulingan bersenjata atau dengan ceramah-ceramah bimbingan sahaja.
Penyelesaian secara Islam mesti didahului dengan wujudnya gerakan Islam yang sedar dan insaf yang menyediakan suasana menyeru orang ramai agar menerima konsep perjuangan di samping mengeluarkan para penyokong dan pendukung harakah.
Usaha-usaha keIslaman yang diperlukan ini hendaklah suatu usaha yang dilakukan secara jamaie dan berorganisasi supaya ia mampu membuahkan hasil dan mencapai matlamat yang ditetapkan.
Tanpa kita sedar, musuh-musuh kita telah lama merancang penggulingan ke atas Islam. Mereka bergerak secara berjemaah. Dari segi syara’ dan pertimbangan akal yang waras, tidak bijaklah sekiranya kita melawan mereka secara individu. Sepertimana yang dikatakan oleh Saidina Abu Bakar kepada Khalid Ibn Walid; “perangilah mereka dengan senjata yang mereka gunakan. Pedang dengan pedang, tombak dengan tombak, panah dengan panah,”.
Firman Allah di dalam surah al-anfal, ayat ke 73; “orang-orang kafir setengahnya saling membantu setengah yang lain. Jika tidak kamu berbuat demikian (bantu-membantu menghadapi mereka), nescaya berlaku fitnah dan kerosakkan yang besar di bumi,”.
Tegasnya, sekiranya umat Islam tidak bersatu-padu untuk menghadapi orang kafir, maka mereka akan berkuasa di muka bumi ini sedangkan umat Islam lemah kerana berpecah-belah. Oleh itu, wujudnya gerakan Islamiyyah sebagai satu wadah untuk menyatu-padukan hati umat Islam. Agar jiwa-jiwa ini berjuang untuk mewujudkan daulah Islamiyyah dan mengembalikan kekhilafahan. InsyaAllah..
No comments:
Post a Comment