Apa itu ukhuwwah? Kenapa perlu ada ukhuwwah? Apa gunanya ikatan ukhuwwah itu? Dimana ukhuwwah? Macam mana nak kekalkan ukhuwwah?
Satu demi satu persoalan bertandang di fikiran. Tiba-tiba aku terasa satu bebanan yang berat terpikul di bahu. Ya, masalah UKHUWWAH.. Apa masalahnya?
Aku mencari erti ‘ukhuwwah’. Beberapa buah buku dijadikan rujukan. Tapi, hampa. Yang ku temui hanya makna dalam satu ayat “skema”. Aku mencari makna ‘ukhuwwah’ yang sebenar!! Di mana akan ku temui?
Hari ini Dia izinkan aku bertemu dengan apa yang dikatakan “ukhuwwah” itu. Ia bukan hanya satu jalinan persahabatan tapi ia jalinan hati berlandaskan keimanan terhadap Illahi. Ia jalinan yang mengajak kembali kepada Allah, kembali kepada Islam. Oh, ia jalinan yang suci.
Dahulu aku buta menilai apa itu ukhuwwah. Suatu hari, aku demam. Sahabat2ku sanggup berjaga malam menjagaku. Membasahkan tubuhku dengan air. Mengambil makanan untukku.
Suatu dahulu, saat aku tersilap. Lari sedikit dari landasan Islam, sahabat2ku menegurku. Mengingatkan aku dengan peringatan-Nya. Dengan larangan-Nya.
Tapi, adakah ukhuwwah hanya sebanyak itu? Sekadar itu? TIDAK!! Aku ingin lebih. Argh, aku sering mendengar suara-suara yang mengeluarkan perkataan ‘ukhuwwah mantap’. Bagaimana ingin memantapkan ukhuwwah?
Aku mencari dan mencari dan terus mencari. Akhirnya aku temui.
Perkara pertama yang perlu dilakukan, perbetulkan niat. Niat kita memulakan satu persahabatan ialah hanya untuk mencari redha Illahi. Niat bersahabat berlandaskan keimanan. Kenapa berlandaskan keimanan? Kerana, yang pertama, setiap mukmin itu bersaudara. Dikatakan, ‘setiap mukmin’. Maka, permulaan suatu persahabatan, persaudaraan, adalah dengan keimanan. Sebab yang kedua, apabila seseorang itu beriman, dia akan berasa redha dengan setiap sesuatu yang berlaku. Yakin bahawa setiap yang berlaku adalah dengan kehendak dan izin Allah. Itulah lebihnya insan beriman. Dia yakin bahawa setiap yang dilakukan akan mendapat balasan di akhirat dan tujuan hidupnya hanyalah untuk mencapai redha Illahi semata.
Tingkat ukhuwwah yang paling tinggi ialah ‘itsar’ iaitu melebihkan sahabatnya daripada diri sendiri. Manakala tingkat yang paling rendah ialah ‘husnu zhon’ iaitu bersangka baik. Jika seseorang itu tidak bersangka baik terhadap sahabatnya, maka hilanglah ukhuwwah. Nauzubillah.
Bila kita berukhuwwah, kita menganggap seseorang itu lebih dari sahabat, malah mungkin lebih daripada adik beradik. Kita tidak mampu untuk melakukan walau satu perkara yang menyakitkan hatinya. Semua perkara tentangnya, kita ketahui. Kitalah insan yang paling memahami dirinya. Warna kegemarannya, apa yang disukainya, apa yang dibencinya, semua diketahui. Malah, setiap tarikh penting dalam hidupnya, perlu kita ketahui.
Apa yang paling penting dalam berukhuwwah ialah, memastikan sahabat kita tidak terpesong dari syariat Islam. Saling ingat-mengingati antara satu sama lain walau terpisah beribu batu. Tidak cemburu dengan kejayaan sahabatnya malahan tumpang gembira.
Aku kini faham apa itu ukhuwwah yang sering mereka sebutkan. Hari ini, aku mula mengerti bahawa ukhuwwah itu juga tanggungjawab.
Duhai sahabat,
Aku mohon kemaafan daripada kalian kerana selama ini aku tidak mengambil berat atas kelalaian kalian. Telah aku abaikan tanggungjawabku pada kalian. Telah aku biarkan kalian terus hanyut dalam lena dunia hingga kita sama-sama terlupa tujuan hidup kita di ‘alam mimpi’ ini hanyalah mengejar redha Illahi. Aku tahu kita sama-sama tidak sempurna. Perbetulkanlah aku jika aku silap dan tegurlah aku jika aku abaikan tanggungjawabku terhadap kalian.
Terima kasih Allah kerana Kau izinkan aku merasa kemanisan berukhuwwah.
No comments:
Post a Comment