Wednesday, April 28, 2010

Al-Quran VS Taurat: Penutup.

Masalah terakhir yang dibincangkan Dr. Bucaille ialah perbandingan ilmu moden dan ayat-ayat dalam al-Quran berkenaan dengan sejarah yang juga terdapat dalam Taurat.

Beliau menekankan persamaan antara ilmu moden dan ayat-ayat dalam al-Quran serta menunjukkan bahawa ayat-ayat dalam Taurat tidak dapat diterima oleh sains. Ini tidak menghairankan kerana kita mengetahi bahawa kisah penciptaan alam semesta dalam Taurat adalah karya pendeta-pendeta yang hidup pada abad keenam sebelum masihi dan kitab-kitab ini dinamakan pula sebagai “kitab pendeta”. Kisah penciptaan alam dibuat sedemikian rupa sebagai suatu dakwah yang dirancang supaya orang-orang Yahudi berehat pada hari Sabtu. Kisah ini diciptakan dengan sesuatu tujuan dan sebagaimana telah diterangkan oleh Father de Vaux (bekas pengetua Sekolah Byble di Baitul Muqaddis) tujuannya adalah supaya orang Yahudi mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.

Dalam Taurat, ada satu lagi kisah mengenai penciptaan alam semesta yang lebih pendek yang dinamakan bentuk Yahvist yang menghadapi masalah ini dari pandangan lain.

Kedua-dua kisah mengenai penciptaan alam semesta ini terkandung dalam buku pertama dalam Taurat; kononnya Nabi Musa yang menulisnya. Akan tetapi, kita mengetahui bahawa kitab ini telah mengalami banyak perubahan daripada bentuk asalnya.

Sebagaimana yang diterangkan di atas, al-Quran dengan sempurnanya sesuai benar dengan konsep moden mengenai penciptaan alam semesta. Akan tetapi kenyataan Taurat mengenainya bertentangan dengan sains moden. Konsep Taurat bahawa alam semesta pada mulanya berasal seluruhnya dari air tidak dapat diterima. Begitu juga kita tidak dapat menerima Taurat merangkumi penciptaan cahaya pada hari pertama sebelum penciptaan bintang-bintang yang mengeluarkan cahaya ini. Pun kita tidak dapat terima pula konsep Taurat mengenai cahaya ini. Pun kita tidak dapat terima pula konsep Taurat mengenai adanya siang dan malam sebelum wujudnya bumi ataupun penciptaan bumi pada hari ketiga sebelum diciptakan matahari pada hari keempat. Pun konsep Taurat bahawa burung-burung muncul pada hari kelima dan haiwan di darat pada hari keenam tidak dapat diterima kerana kita mengetahui bahawa haiwan muncul sebelum burung. Semua konsep ini di dalam Taurat adalah hasil dari kepercayaan manusia pada masa Taurat itu ditulis.

Silsilah-silsilah yang terkandung di dalam Taurat yang merupakan asas takwim Yahudi menunjukkan bahawa umur dunia ini adalah 5738 yahun dan ini sudah terang amat keliru. Sistem solar kita yakni matahari dan bintang-bintang siarah yang sembilan ini mungkin berumur 4 bilion tahun dan manusia seperti kita sekarang telah muncul sekurang-kurangnya berpuluh-puluh ribu tahun.

Penting sekali kita sedari di sini bahawa di dalam al-Quran tidak terdapat penentuan-penentuan mengenai tarikh-tarikh yang disebut secara jelas di dalam Taurat.

Kedua, kita juga boleh membandingkan kisah air bah pada zaman Nabi Nuh a.s sebagaimana terkandung dalam al-Quran dan membandingkannya dengan kisah sebagaimana terkandung dalam Taurat. Sebenarnya kisah dalam Taurat menggabungkan dua penjelasan yang diceritakan berlainan. Di dalam Taurat disebut bahawa air bah itu meliputi seluruh dunia dan terjadi 300 tahun sebelum Nabi Ibrahim. Menurut apa yang kita ketahui mengenai Nabi Ibrahim ini bererti terjadinya suatu bencana alam yang meliputi seluruh dunia pada abad 21 atau 22 sebelum masihi. Akan tetapi sejarah telah membuktikan ini tidak pernah terjadi.

Bagaimana kita dapat menerima konsep bahawa dalam abad 21 atau 22 sebelum masihi, semua manusia dihancurkan oleh suatu banjir di mana kita mengetahui bahawa pada masa itu di Mesir, misalnya, telah berkembang suatu tamadun yang tinggi.

Maka tidak ada satu dari kenyataan-kenyataan dalam Taurat tadi dapat diterima oleh sains moden.

Dari pandangan ini, dapatlah kita melihat jauhnya perbezaan Taurat dengan al-Quran.

Berbeza dengan Taurat, kita melihat kisah Nabi Nuh yang terkandung dalam al-Quran menceritakan suatu bencana yang dikenakan pada kaum Nabi Nuh sahaja. Mereka dihukum kerana dosa-dosa sebagaimana bangsa lain yang menyeleweng. Al-Quran tidak menentukan bila air bah ini terjadi. Kisah al-Quran mengenai masalah ini tidak dapat disoalkan dari pandangan sejarah atau ilmu purbakala.

Ketiga, kita boleh bandingkan mengenai kisah Nabi Musa terutama sekali mengenai kisah Bani Israel meninggalkan Mesir di mana mereka telah diperhambakan oleh Firaun. Dr. Bucaille menyimpulkan kisahnya begini. Antara Taurat dan al-Quran, ada persamaan dan ada pula yang bertentangan. Dalam beberapa hal, dua kitab ini saling terang-menerangkan. Menurut Dr. Maurice Bucaille, kemungkinan besar Merneptah, pengganti Ramessess II, yang menjadi Firaun pada masa Bani Israel meninggalkan Mesir. Kalau kita membandingkan butir-butir dalam Taurat dengan kenyataan-kenyataan ilmu kajipurba, kita lebih yakin bahawa Merneptah menduduki takhta Mesir pada masa itu. Apa yang terkandung dalam Taurat juga menunjukkan bahawa Nabi Musa dilahirkan pada masa pemerintahan Ramessess II.

Penyelidikan oleh pakar-pakar perubatan atas mayat Merneptah telah memberi banyak keterangan mengenai apa yang menyebabkan kematiannya.

Mayat Firaun tersebut ditemui mati pada tahun 1898. Dalam Taurat, disebut bahawa ia tenggelam di dalam laut tetapi tidak ada sebarang keterangan mengenai apa yang terjadi di atas mayatnya. Akan tetapi, dalam al-Quran disebut bahawa mayat Firaun yang akan masuk neraka akan diselamatkan dari air. Disebut dalam surah Yunus ayat 92;
“Maka pada hari ini Kami selamatkan badanmu (bangkainya) untuk menjadi tanda bagi orang-orang dibelakangmu”.

Suatu penyelidikan doktor-doktor atas mayat tersebut telah menunjukkan bahawa ianya tidak lama di dalam air kerana tidak ada tanda-tanda kerosakan yang akan terjadi kalau ia tenggelam dalam air pada masa yang panjang.

Sekali lagi kisah-kisah yang terkandung di dalam al-Quran sesuai dengan apa yang diketahui sekarang. Pun tidak ada sebarang pertentangan antara sains dengan ayat-ayat al-Quran.

Taurat merupakan suatu kumpulan karya-karya sastera yang dihasilkan selama 9 abad dan telah banyak ditokok tambah. Peranan manusia dalam isi kandungan Taurat sangat besar.

Akan tetapi wahyu Islam mempunyai sejarah yang berlainan sekali. Sejak diwahyukan kepada baginda Nabi Muhammad S.A.W, ia dihafal dan ditulis pada masa hayatnya. Maka tidak ada sedikit syak atau sebarang keraguan bahawa al-Quran hari ini sama dengan al-Quran yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad 1400 tahun yang lalu.

Maka kalau diselediki al-Quran secara objektif dengan cara sains, kita dapat melihat persamaan antara keduanya. Sebagaimana telah diterangkan beberapa kali, tidak mungkin manusia yang hidup pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. dapat menulis mengenai masalah-masalah ini memandangkan keadaan ilmu pada masa hayatnya tidak memungkinkan manusia dapat mengetahui perkara-perkara ini. Inilah sebahagian dari pertimbangan-pertimbangan yang memberi tempat yang istimewa pada al-Quran dan memaksa seorang pakar sains yang benar-benar objektif untuk mengakui ia tidak dapat menjelaskan al-Quran hanya didasarkan alasan-alasan kebendaan.

~Tamat~

No comments: