Apa yang disebutkan di dalam al-Quran berbeza sekali dengan apa yang disebut di dalam Taurat. Ini menunjukkan kesilapan-kesilapan para penulis barat yang selalu menunjukkan persamaan antara al-Quran dan Taurat. Mereka hanya melihat penyesuaian tetapi tidak sedar atas perbezaan-perbezaan ini.
Di dunia barat bila disebut masalah pencipta alam semesta terdapat suatu kecenderungan yang kuat untuk menyatakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. hanya meniru garis-garis besar yang terkandung dalam Taurat. Memang mungkin kita melihat ada persamaan antara kisah penciptaan alam semesta dalam masa enam hari yang ditambah dengan satu lagi rihat bagi Tuhan pada hari Sabbath (senagaimana terkandung dalam kitab Taurat) dengan ayat tujuh dari Surah al-A’raf:
“Sesungguhnya Tuhan kamu itu ialah Allah, yang menjadikan langit-langit dan bumi dalam enam (hari atau masa)”.
Dalam Taurat, ‘hari’ memang diertikan sebagai suatu masa antara dua terbit matahari yang berturut-turut atau antara dua terbenam matahari berturut-turut. Akan tetapi penafsir-penafsir Quran moden telah menjelaskan bahawa perkataan ayyam atau yaum tidak hanya bermakna suatu masa yang berjumlah 24 jam tetapi juga diertikan dengan makna ‘masa yang panjang’ atau ‘zaman’. Misalnya dalam surah as-Sajadah ayat 5;
“Dalam satu hari yang panjangnya seribu tahun perhitungan kamu”.
Atau dalam surah al-Ma’arij ayat 4;
“Dalam satu hari yang panjangnya lima puluh ribu tahun”.
Di dalam al-Quran, tidak disebut mana yang dicipta terlebih dahulu- langit atau bumi berbanding di dalam Taurat. Al-Quran ada menyebut bumi sebelum langit dan langit sebelum bumi. Juga al-Quran tidak menyebut urutan-urutan dalam penciptaan langit dan bumi bila disebut masalah penciptaan alam sebagaimana terdapat dalam surah Taha ayat 4;
“Diturunkan dari (Tuhan) yang menjadikan bumi dan langit-langit yang tinggi”.
Apa yang dapat difaham dari al-Quran, langit dan bumi berkembang seiringan. Terdapat juga butir-butir asas mengenai adanya sesuatu jisim asal bergas (dukhan) yang unggul. Unsur-unsur yang terkandung dalam dukhan ini walaupun pada awalnya terikat ketat (ratq) tetapi kemudian berpisah (fatq). Seperti yang diterangkan dalam surah Fusilat ayat 11;
“kemudian Ia (Allah) menuju kepada (pembikinan) langit, padahal ia itu asap”.
Dan juga terdapat dalam surah al-Anbiya’ ayat 30;
“Dan tidaklah orang-orang kafir itu lihat bahawa sesungguhnya langit-langit dan bumi itu (dahulunya) adalah sekepal, lalau Kami pisahkan antara keduanya.........”
Hasil daripada proses pemisahan ini adalah wujudnya alam yang banyak yang merupakan suatu konsep yang sering kali disebut di dalam al-Quran. Bahkan ayat pertama dari surah al-Fatihah menyebut alam dalam kata majmuk (‘alamin).
Semua ini sesuai dengan kajian sains mengenai wujudnya sekelompok bintang (nebulla) utama dan proses pemisahan antara unsur-unsur yang terkandung dalam jisim unggul yang asal. Akibatnya pemisahan ini ialah pembentukan bimasakti (gugusan bintang-bintang yang banyak), kemudian ketika ini berpecah terbentuk bintang dan dari bintang lahirlah siarah (planet).
Masalah adanya penciptaan antara penciptaan langit-langit dan bumi disebut di dalam surah Furqan ayat 59;
“Allah yang menjadikan langit-langit dan bumi dan apa-apa yang ada diantara keduanya”.
Penciptaan antara langit-langit dan bumi selaras dengan penemuan moden mengenai jambatan bahan-bahan yang terdapat di luar sistem falaq yang tersusun.
Urutan-urutan penciptaan langit dan bumi sebagaimana disebutkan di dalam Taurat tidak dapat diterima. Khasnya kerana di dalam Taurat menyatakan bahawa bumi dicipta pada hari ketiga dan langit pada hari keempat.
Kesimpulannya, TIDAK MUNGKIN Nabi Muhammad S.A.W. mengambil pelajaran dari kitab Taurat kemudian membaikinya sendiri sehingga beliau dapat membuat suatu kesimpulan yang benar mengenai pembentukan alam padahal konsep ini hanya berkembang berabad-abad lama setelah baginda wafat.
No comments:
Post a Comment