Monday, March 01, 2010

Rahmat Allah yang utama..

Bismillahirrahmanirrahim,

Sebagai seorang muslim, sememangnya kita ditaklifkan untuk melakukan pelbagai amalan seperti solat, puasa, menunaikan haji, menutup aurat dan berbagai lagi. Amalan-amalan ini dilakukan dengan satu matlamat yang nyata iaitu bagi mencapai keredhaan Allah.

Sabda Rasulullah S.A.W:
“Bersikap luruslah anda dan hampirkan diri kepada Allah dan ketahuilah tidak ada seorang pun dari kalangan anda yang akan memasuki syurga dengan amalan yang dilakukannya sahaja. Para sahabat bertanya; adakah tuan juga tidak dapat memasuki syurga dengan amalan itu wahai Rasulullah? Sabda baginda; ya, saya juga tidak dapat memasuki syurga dengan amalan yang dilakukan. Walau bagaimanapun, Allah menganugerahkan kepada saya dengan keampunan dan rahmat daripada-Nya.”

Dalam hadis tersebut, Rasulullah menyatakan bahawa tidak seorangpun dapat memasuki syurga walaupun sebanyak mana amalan yang dilakukan. Walaupun 1000 tahun beribadat kepada Allah. Namun begitu, Allah memberi rahmat kepada insan yang dikehendakinya sehingga membolehkan seseorang itu memasuki syurga.

Kita tidak dibolehkan terlalu bergantung dengan amalan yang kita lakukan. Tetapi, kita juga harus mengambil kira rahmat Allah kerana tanpa rahmat-Nya, kita tidak dapat melakukan amalan tersebut dengan jayanya.

Saya bawakan satu contoh. Katakanlah, terdapat seorang budak demam. Dia pergi ke klinik dan doktor memberinya ubat. Lantas budak itu makan ubat yang diberikan dengan harapan segera sembuh daripada demamnya. Namun, dia terlupa bahawa Allah sahajalah yang berkuasa memberikan kesembuhan. Mengambil ubat itu hanyalah sebahagian dari langkah kita berusaha dan berikhtiar untuk mencari kesembuhan yang dituntut syarak. Perbuatan terlalu bergantung kepada ubat merupakan perbuatan syirik yang ditegah melakukannya.

Begitu jugalah dalam melakukan amal ibadat kepada Allah. Perbuatan terlalu bergantung kepada amalan boleh membawa kepada putus asa sekiranya diuji dengan sesuatu ujian. Malahan, perbuatan ini boleh membawa kepada sifat ujub, ghurur dan seumpamanya. Selain itu, perbuatan ini boleh menyebabkan seseorang itu merasakan Allah patut melaksanakan hak-hak tertentu ke atas dirinya. Kesemua ini merupakan perangkap syaitan semata, maka jelas ia bertentangan dengan maqam as-siddiqin.

Berdasarkan hadis tersebut, terdapat sesetengah orang yang tersalah mengamalkan hadis ini. Mereka berpendapat, tidak perlu melakukan amalan tertapi hanya perlu mencari rahmat dan keredhaan Allah. Sememangnya jelas bahawa tanggapan mereka sangat-sangat bercanggah kerana terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menyuruh kita melakukan amal ibadat. Jika pendapat mereka betul, mengapa Rasulullah sanggup bangun pada malam hari untuk beribadat? Mengapa Rasululullah mendirikan solat sehingga bengkak kaki Baginda? Malahan terdapat puluhan ayat yang menyatakan bahawa kemasukan ke syurga adalah hasil dari pelaksanaan ke atas amalan wajib.

Menurut Syeikh Muhammad al-Ghazali, hadis ini sebenarnya membantah sikap sombong dalam melakukan amalan. Ertinya, syurga boleh dimasuki dengan melaksanakan amalan dengan ikhlas, bersih daripada sebarang unsur riak serta bantuan dan rahmat daripada Allah. Hadis ini sama sekali menolak kebolehan memasuki syurga hanya dengan amalan. ( rujukan, kitab “Sunnah Nabi Antara Ahli Fiqh dan Ahli Hadis” karangan as-Syeikh Muhammad al-Ghazali ).

Terdapat tanda untuk mengenalpasti adakah kita terlalu bergantung kepada amal yang dilakukan iaitu apabila kita melakukan kesalahan, timbul rasa kurang percaya dan kurang yakin dengan janji Allah disebabkan oleh kesalahan tersebut. Sebagai seorang muslim dan mukmin, kita perlu sentiasa yakin dan percaya dengan janji-Nya. Setiap yang berlaku sama ada ujian ataupun musibah mempunyai hikmah yang tersembunyi disebaliknya. Redhalah dengan segala ketentuan dan taqdir yang telah ditentukan. Semua perkara yang berlaku adalah perkara yang terbaik untuk kita. Yakinlah dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 216: “ ... boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyenangi sesuatu padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”.

Wallahu a’lam.

(Rujukan; Ulasan al-Hikam, Syeikh Said Hawa.)

No comments: